Bung Moktar menawar diri untuk menjadi orang yang pertama disuntik vaksin COVID-19

Bung%2BMoktar%2Btawar%2Bdiri%2Bmenjadi%2Borang%2Byang%2Bpertama%2Bdisuntik%2Bvaksin%2BCOVID 19

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menawarkan diri untuk menjadi sebagai bahan uji kaji vaksin COVID-19 di negara ini, bagi menyahut saranan supaya ahli politik menjadi golongan pertama disuntik vaksin itu.

“Untuk menyahut cabaran Sarikei tadi, saya menawarkan untuk menjadi orang yang pertama disuntik vaksin (COVID-19) itu, kalau ada. Saya berasa tidak takut dan saya mahu sihat, panglima perang haruslah kena dulu,” katanya ketika membahaskan peruntukan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan (KKM) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini pada hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu adalah di antara 15 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu.

Sebelum itu, Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) ketika berbahas, mendakwa beliau dan ahli keluarganya dijadikan bahan uji kaji ketika mereka disahkan positif COVID-19.

Beliau memberi contoh, keputusan ujian anaknya yang juga atlet negara, Jacky Wong selalunya tidak konsisten.

“..kerana virus itu telah mati di dalam badan dia, tempoh kuarantin sepatutnya tamat lebih awal tetapi dia telah ditahan begitu lama iaitu selama 73 hari sebelum dibenarkan pulang. Saya berasakan ahli keluarga saya termasuklah diri saya sendiri telah dijadikan bahan kajian semasa kami disahkan positif. Jika kita sudah mempunyai vaksin itu siapakah yang akan ataupun bakal menjadi bahan kajian seterusnya?

“Rakyat di luar sana mencadangkan bahawa vaksin itu perlu diuji terlebih dahulu kepada ahli politik untuk memastikan keberkesanan vaksin tersebut sebelum diberikan atau diguna pakai kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar juga membangkitkan isu kelemahan penyelarasan KKM dalam mengurus kes COVID-19 di Sabah apabila tidak menimbang cadangan hospital swasta yang menawarkan fasiliti mereka bagi merawat pesakit COVID-19.

“Hospital di Sabah sejak COVID-19 dilihat sangat tidak stabil, kebanyakan yang diserang COVID-19 dihantar di mana-mana sahaja. Di Tawau misalnya, ada hospital swasta menawarkan fasiliti mereka untuk disewa, tetapi KKM langsung tidak mengambil kesempatan itu agar dapat memudahkan urusan.

“Sebaliknya mereka (pesakit COVID-19) dihantar ke hospital daerah lain serta meningkatkan risiko pula di daerah tersebut,” katanya. – BERNAMA

Leave a Comment