Polis Johor Lupus Rokok, Arak Seludup RM 2.5 Juta

Untitled%2Bdesign


JOHOR BAHRU, 25 Nov – Polis Johor hari ini melupuskan rokok dan arak seludup yang dirampas pada tahun 2018 sehingga pada bulan Oktober lepas bernilai sebanyak RM2.5 juta.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pelupusan itu melibatkan 30 kes yang telah diselesaikan daripada sudut siasatan bagi daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Iskandar Puteri dan Seri Alam.

Beliau berkata daripada keseluruhan kes, 12 kes melibatkan JBS dengan nilai rampasan  sebanyak RM820,000, 10 kes dari Iskandar Puteri (RM916,618) dan 8 kes dari Seri Alam (RM763,382).

“Jumlah tangkapan bagi keseluruhan kes ialah seramai 32 suspek melibatkan rakyat tempatan dan warga asing berusia antara 26 hingga 53 tahun, ” katanya kepada pemberita dalam sidang media.

Ayob Khan berkata daripada 32 yang ditahan, seramai 12 orang telah ditahan di JBS, 15 di Iskandar Puteri dan sembilan lagi di Seri Alam.

Katanya, sebanyak 467 siri serbuan rokok dan arak seludup dilakukan pada tempoh 2018 sehingga Oktober lepas, antaranya diseludup dari Vietnam dan Indonesia sebelum dibawa masuk ke beberapa lokasi di Johor dan Pahang.

Beliau dalam masa yang sama menjelaskan bahawa kes berkaitan penyeludupan rokok dan arak mengguna pakai Akta Kastam 1967 dan kegiatan itu dapat dibanteras dengan cara yang efektif sekiranya berada di bawah jenayah terancang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Di bawah Akta Kastam biasanya kita akan menangkap pemandu lori, pemilik kedai yang jual rokok dan arak haram serta mereka akan bayar denda kira-kira RM1,000 sehingga RM2,000…setelah itu mereka terlibat balik semula di dalam aktiviti penyeludupan.

“Sebab itu kalau kita masukkan kesalahan penyeludupan rokok dan arak di bawah undang-undang keselamatan ia akan memudahkan kita untuk ambil tindakan terhadap seluruh sindiket yang terlibat termasuk ketua sindiket,” katanya.

Leave a Comment